Lengan kanak-kanak tersepit di eskalator dalam kejadian ngeri di pusat beli-belah
Agensi
Julai 9, 2019 17:48 MYT
Julai 9, 2019 17:48 MYT
LENGAN seorang kanak-kanak dilaporkan tersepit di celah eskalator dalam kejadian yang mengerikan di kompleks beli-belah City Star di Yuanjiang, China.
Rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak berumur dua tahun itu menaiki eskalator dengan ibunya apabila dia tiba-tiba terbaring dan meraung kesakitan.
Ibunya yang terkejut cuba untuk mengangkatnya, tetapi tangga tersebut terus bergerak dan hampir mematahkan lengan kanan kanak-kanak tersebut ketika mereka sampai ke panel lantai di bawah.
Seorang pengawal keselamatan berlari untuk menekan butang berhenti pada eskalator itu, menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada kehilangan anggota badannya.
Menurut laporan media, kanak-kanak itu kekal dengan lengannya terperangkap dalam jurang antara langkah eskalator berkenaan selama 45 minit sehingga perkhidmatan bomba dapat membebaskannya.
Dalam satu rakaman lain, ibu mangsa kelihatan dalam keadaan yang tidak berdaya ketika penyelamat cuba membebaskan lengan anaknya tanpa menyebabkan kecederaan selanjutnya.
Ahli bomba, Liu Cheng berkata ketika mereka tiba di tempat kejadian, keluarganya dalam keadaan terlalu panik untuk menyampaikan apa-apa maklumat bagaimana kemalangan itu berlaku.
"Akhirnya kami menggunakan peralatan hidraulik untuk membuka langkah-langkah eskalator tersebut," katanya.
Mangsa dibawa masuk ambulans dan dibawa ke hospital tempatan untuk mendapat rawatan.