Lelongan vila dengan mural Caravaggio gagal tarik minat pembeli
Astro Awani
Januari 19, 2022 08:37 MYT
Januari 19, 2022 08:37 MYT
ROM: Sebuah vila di tengah Rom yang mengandungi satu-satunya mural di bahagian siling oleh artis gaya Baroque Itali, Caravaggio gagal menarik minat pembeli semasa lelongan dalam talian diadakan pada Selasa.
Ini bermaksud rumah mewah itu akan dijual dengan harga diskaun.
Sebelum ini rumah berkenaan terpaksa dijual susulan pertelingkahan antara waris.
Nilai asal rumah itu ditetapkan pada AS$533 juta (RM2.2 bilion), antara rumah termahal di dunia.
Harga lelongan pula bermula daripada 353.25 euro (RM1.7 bilion), namun tiada pembeli yang berminat untuk memilikinya.
Rumah berkenaan akan dijual semula pada 7 April depan dengan harga potongan sebanyak 20 peratus, menurut media tempatan.
Di bawah undang-undang Itali, harta tanah yang gagal dilelong perlu dijual dengan harga potongan sehingga 25 peratus.
Caravaggio diminta untuk membuat lukisan pada siling sebuah bilik kecil rumah berkenaan pada tahun 1597.
Mural dengan lebar 2.75 meter itu memaparkan dewa Jupiter, Neptune dan Pluto yang bernilai 310 juta euro.
Pemilik asal rumah berkenaan ialah Cardinal Francesco Maria Del Monte sebelum dijual kepada keluarga Ludovisi pada awal 1600.
Susulan kematian Putera Nicolo Boncompagni Ludovisi pada 2018 berlaku pertelingkahan antara warisnya, iaitu anak-anak daripada isteri pertama dan isteri ketiga mendiang yang kini menetap di Amerika Syarikat.