Lelong: Cendawan dari Noto yang dilanda bencana capai harga rekod US$2,200

Bernama
Januari 10, 2025 08:15 MYT
Enam pek cendawan shiitake dari kawasan Noto, Jepun, mencatat harga rekod 350,000 yen pada lelongan pertama tahun ini pada Khamis. - Foto BERNAMA
KANAZAWA (Jepun): Enam pek cendawan shiitake dari kawasan Noto yang terjejas bencana mencatat harga rekod sebanyak 350,000 yen (US$2,200) pada lelongan pertama tahun ini di tengah Jepun pada Khamis, lapor Agensi Berita Kyodo.
Jualan cendawan shiitake "Nototemari" itu disambut dengan sorakan dan tepukan dari peserta lelongan di Kanazawa, ibu negeri Prefektur Ishikawa, yang mana Semenanjung Noto terus meneruskan usaha pemulihannya selepas dua bencana alam pada tahun lalu - gempa bumi kuat pada Hari Tahun Baharu dan hujan lebat yang mencatat rekod pada bulan September.
Menurut badan yang dibentuk oleh pengeluar tempatan, cendawan dari empat daerah di kawasan tersebut, termasuk Wajima yang paling terjejas, mesti memenuhi kriteria untuk dihantar sebagai Nototemari, iaitu mempunyai tudung dengan lebar sekurang-kurangnya 8 sentimeter dan ketebalan 3 sentimeter.
Cendawan ini dikenali dengan aroma dan tekstur kenyal yang menyenangkan.
Bercakap kepada pemberita, pengerusi pertubuhan itu, Yoshikatsu Hinoshita, 79, berkata, "Saya mahu orang ramai mengambil kira bahawa produk yang begitu baik ini dihasilkan walaupun melalui kesukaran, semasa mereka menikmati cendawan ini."
-- BERNAMA
#cendawan shiitake #Noto Jepun #lelong #bencana alam
;