Lelaki warga India pulang ke Mumbai dari Afrika Selatan disahkan positif COVID-19

Bernama
November 29, 2021 19:40 MYT
Penumpang itu tiba di India dari Afrika Selatan pada 24 Nov, dan disahkan positif berdasarkan sampel yang diambil semasa ketibaannya.- Gambar hiasan/AP
NEW DELHI: Seorang lelaki India berusia 32 tahun yang tiba di Mumbai dari Afrika Selatan melalui Delhi disahkan positif Coronavirus (COVID-19), lapor Xinhua memetik laporan media pada Isnin.
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada beliau dijangkiti varian Omicron COVID-19.
Penumpang itu tiba di India dari Afrika Selatan pada 24 Nov, dan disahkan positif berdasarkan sampel yang diambil semasa ketibaannya.
"Penumpang itu dalam perjalanan dari Cape Town ke Delhi melalui Dubai. Beliau memberikan sampel di Delhi dan dibenarkan menaiki penerbangan sambungan ke Mumbai. Setibanya di Mumbai, beliau didapati positif. Beliau tidak menunjukkan gejala dan melakukan kuarantin kendiri di rumah. Kemudian, lelaki itu dikuarantin di sebuah institusi," kata seorang pegawai kesihatan tertinggi di Mumbai.
Jabatan kesihatan Mumbai sudah memaklumkan pihak berkuasa lapangan terbang dan usaha dilakukan untuk mengesan penumpang dalam penerbangan yang sama dengan lelaki itu.
Sementara itu, sampelnya telah dihantar untuk penjujukan genom bagi mengetahui sama ada beliau membawa varian Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.
-- BERNAMA
#varian omicron #COVID-19 #Mumbai #Afrika Selatan
;