Lelaki tikam kepala sendiri di Heathrow cetuskan panik
Agensi
Disember 17, 2015 12:50 MYT
Disember 17, 2015 12:50 MYT
Seorang lelaki dibawa ke hospital selepas dia dilihat berulang kali menikam kepalanya sendiri di Lapangan Terbang Heathrow di London.
Akhbar Britain, The Guardian melaporkan seorang penumpang yang enggan dinamakan berkata seorang lelaki berwajah orang Asia Barat atau Afrika Utara dilihat menikam kepalanya dengan menggunakan objek tajam seakan pisau, yang menyebabkan darah membasahi bajunya.
Perkara mencetuskan suasana panik di kalangan penumpang yang berada di sekeliling lelaki tersebut.
Namun, lelaki tersebut dilihat tidak cuba menyerang penumpang yang lain.
Menakala seorang rakyat Malaysia, Neerav Valiram yang turut menyaksikan kejadian berkenaan turut memuat naik twit mengenainya.
The Guardian melaporkan bahawa pekerja lapangan terbang berjaya merampas pisau lelaki berkenaan sebelum pegawai keselamatan, paramedik dan polis tiba di tempat kejadian.
Jurucakap Lapangan Terbang Heathrow berkata lelaki berkenaan dipercayai mengambil pisau dari sebuah kedai di ruang berlepas terminal selepas pemeriksaan keselamatan
Objek berkenaan bagaimanapun tidak tajam.
Polis berkata, mereka dipanggil ke kawasan membeli-belah di Terminal 5 Heathrow pada sekitar 5:45 petang waktu tempatan.
Lelaki itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan kecederaannya tidak mengancam nyawa.
Insiden itu dianggap sebagai kes cubaan mencederakan diri sendiri, tiada siasatan lanjut dilakukan.
London dalam keadaan berjaga-jaga kini selepas serangan tikaman di stesen kereta api bawah tanah London awal bulan ini yang disyaki angkara anggota militan.