Lelaki AS tidak bersalah akhirnya dibebaskan selepas tiga dekad dalam penjara
Bernama
Mei 26, 2023 20:02 MYT
Mei 26, 2023 20:02 MYT
LOS ANGELES: Seorang lelaki dari Baldwin Park dibebaskan dari penjara negara awal bulan ini selepas pendakwa raya dan pegawai parol menemukan bukti menunjukkan beliau tidak bersalah dalam kejadian tembakan pada 1989, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pegawai pada Jumaat.
Daniel Saldana, 55, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun pada 1990 setelah disabitkan dengan cubaan membunuh dalam kejadian tembakan ke atas enam pelajar sekolah menengah Baldwin Park yang disangka sebagai ahli kumpulan, selepas perlawanan bola sepak, menurut Peguam Daerah Daerah Los Angeles George Gascon. Dua daripada pelajar itu cedera.
Saldana, Raul Vidal dan April Gallegos semuanya disabitkan dengan enam pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan menembak ke arah kenderaan yang terdapat penumpang. Bagaimanapun, Saldana tetap mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan berkata beliau tidak berada di tempat kejadian.
Menurut Gascon, pada 2017, Vidal memberitahu lembaga parol negeri bahawa dia bertanggungjawab ke atas tembakan itu dan Saldana tidak berada di tempat kejadian, namun maklumat itu tidak dimaklumkan oleh pendakwaraya Daerah Los Angeles kepada Saldana atau peguambelanya.
Bagaimanapun, pada Februari, lembaga parol menyerahkan transkrip pendengaran itu kepada Unit Integriti Sabitan Pejabat peguam daerah yang melancarkan siasatan dan akhirnya pejabat itu mengemukakan usul bersama dengan Saldana supaya sabitannya dibatalkan.
Hakim Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles William Ryan membenarkan keputusan tidak bersalah pada 11 Mei.
Saldana berusia 22 tahun ketika ditangkap dan bekerja dalam sektor pembinaan semasa kejadian itu dan tidak mengetahui mengapa dia dikaitkan dengan jenayah itu.
Gascon enggan mengulas mengenai bukti lain yang digunakan untuk mensabitkan Saldana kerana beliau berkata pendakwa raya masih menyiasat sama ada orang lain mungkin bersalah dalam kes itu.
-- BERNAMA