Lelaki Thai nyaris jadi mangsa patukan tedung dalam mangkuk tandas

Agensi
Jun 7, 2016 17:47 MYT
Pollapat Laokamnerdpetch berkata dia ternampak bahagian kepala ular tedung berkenaan muncul dari mangkuk tandas. -Gambar hiasan
Seorang lelaki Thailand nyaris menjadi mangsa patukan ular pada Ahad apabila seekor ular tedung muncul tiba-tiba dari dalam mangkuk tandas.
Pollapat Laokamnerdpetch, 27, memberitahu media tempatan bahawa dia ternampak bahagian kepala ular tedung berkenaan muncul ketika menggunakan tandas.
Sejurus selepas pasukan penyelamat dihubungi, ular tedung tersebut dilapor bersembunyi di dalam paip tandas.
Usaha untuk mengeluarkan ular tedung sepanjang 1 meter itu mengambil masa kira-kira 30 minit dengan membuka tangki septik dan semburan racun perosak, lapor media tempatan.
Ular yang berjaya ditangkap itu kemudian dibawa ke Queen Saovabha Memorial Institute di Bangkok, sebuah institusi yang mahir dalam pengendalian ular berbisa.
Sebelum ini, seorang lelaki di wilayah Chachoengsao diserang ular sawa juga ketika menggunakan tandas di rumahnya.
Dalam insiden berkenaan, kemaluan lelaki itu telah digigit ular sawa tersebut dan mangsa terpaksa bergelut dengan reptilia itu sebelum pengsan akibat kehilangan banyak darah.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
#Bangkok #Pollapat Laokamnerdpetch #Queen Saovabha Memorial Institute #Thailand #ular
;