Lelaki 'terperangkap' di lapangan terbang Paris selama 18 tahun meninggal dunia
Astro Awani
November 12, 2022 06:15 MYT
November 12, 2022 06:15 MYT
PARIS: Lelaki warga Iran yang terperangkap di lapangan terbang Paris selama 18 tahun dilapor telah meninggal dunia.
Mehran Karimi Nasseri terpaksa menjadikan ruang kecil di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle sebagai rumahnya pada tahun 1988 setelah kehilangan dokumen yang mengesahkan statusnya sebagai pelarian.
Pengalamannya mencetuskan inspirasi filem "The Terminal" lakonan Tom Hanks yang diterbitkan pada tahun 2004, ketika Mehran Karimi masih berada di lapangan terbang itu.
Pada tahun 2005, Mehran Karimi diberi bayaran lebih AS$300,000 sebagai hak ke atas kisahnya dan difahamkan menggunakan wang tersebut untuk mendapat kerakyatan British bagi memulakan kehidupan baharu.
Walaupun Mehran Karimi akhirnya diberi kebenaran untuk tinggal di Perancis, dia kembali ke lapangan terbang berkenaan beberapa minggu lalu di mana dia menghembuskan nahas terakhir, lapor AFP.
Dilahirkan pada tahun 1945 di Khuzestan, Iran, Mehran Karimi terbang ke Eropah pada 1980-an bagi mencari ibunya.
Dia diusir dari London, Amsterdam dan Berlin kerana tidak memiliki dokumen imigresen yang diperlukan.
Disebabkan itu, dia terpaksa menjadikan Terminal 2F di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle sebagai rumahnya.
Sebahagian besar masanya di situ dihabiskan dengan menulis tentang kisah hidupnya serta membaca buku dan surat khabar.
Ceritanya menarik perhatian media antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada filem "The Terminal" arahan Stephen Spielberg dengan wataknya dilakonkan Hanks dan dibantu Catherine Zeta-Jones.
Selepas penerbitan filem tersebut, media antarabangsa bergegas untuk berjumpa dengan individu yang memberi inspirasi kepada filem Hollywood itu hingga pada satu ketika, Mehran Karimi, yang menggelar dirinya sebagai 'Sir Alfred', pernah ditemu ramah sebanyak enam kali sehari, lapor Le Parisien.
Namun selepas diberi status pelarian dan kebenaran untuk tinggal di Perancis pada 1999, dia masih tinggal di lapangan terbang tersebut sehingga tahun 2006.
Dia kemudian meneruskan kehidupan di sebuah asrama menggunakan wang yang diterima untuk filem "The Terminal", lapor akhbar Liberation.
Mehran Karimi kembali ke lapangan terbang tersebut beberapa minggu lalu sebelum dia meninggal dunia, kata pegawai lapangan terbang.
Dia ditemui bersama wang bernilai beberapa ribu euro, tambah pegawai tersebut.
#Mehran Karimi Nasseri
#Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle
#terperangkap
#meninggal dunia