Lelaki terkaya Asia lancar semula minuman ikonik 'Campa Cola'

Agensi
Mac 11, 2023 16:10 MYT
Jenama minuman Campa Cola yang pernah menyaingi Coca-Cola dan Pepsi pada era 70-an bakal kembali di pasaran pada musim panas ini. -Media sosial
MUMBAI: Lelaki terkaya Asia Mukesh Ambani mengumumkan rancangan untuk melancarkan semula jenama soda ikonik Campa Cola yang pernah menyaingi Coca-Cola dan Pepsi pada tahun 70-an.
Lapor CNN, Kumpulan Reliance Ambani berkata minuman ini akan diperkenalkan semula ke pasaran bukan alkohol bernilai bilion dolar India pada musim panas ini dalam tiga perisa iaitu cola, lemon dan oren.
Dengan kembalinya Campa Cola ke pasaran, Reliance berharap dapat menarik minat rakyat India bernostalgia terhadap jenama itu serta memperkenalkan minuman itu kepada golongan muda.
"Dengan mempersembahkan Campa Cola dalam bentuk baharu kami berharap dapat memberi inspirasi kepada pengguna merentas generasi untuk menerima jenama yang benar-benar ikonik ini serta mencetuskan keterujaan baharu dalam segmen minuman," kata jurucakap syarikat.
Jenama ini pernah mengisi kekosongan di negara Asia Selatan ketika Coca Cola yang terkenal dari Amerika tidak tersedia di pasaran ketika itu.
Dalam pada itu, berita mengenai 'kepulangan' minuman ini membuatkan generasi lama teruja serta tidak sabar untuk mendapatkan Campa di pasaran.
Salah seorang penggemar Campa Cola, Shailesh Desai, 60, dari Mumbai, memberitahu setiap kali mendapat gred corot pada kad laporan ketika zaman persekolahan, dia akan menikmati minuman Campa Cola untuk membuatkan dirinya lebih tenang.
Terdahulu, pelakon Bollywood Salman Khan pernah muncul dalam salah satu kempen minuman yang menggunakan tagline “The Great Indian Taste” itu.
#Campa Cola #Mukesh Ambani #Coca-Cola dan Pepsi #Reliance Ambani
;