Lelaki tembak, penggal kepala 'kekasih gelap' isteri

Agensi
September 29, 2020 15:41 MYT
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan ngeri di sebuah tapak perkhemahan terpencil di utara New Hampshire. - Gambar hiasan
NEW HAMPSHIRE: Dipercayai kerana cemburu, seorang lelaki tergamak memaksa isterinya memenggal kepala 'kekasih gelap' isterinya selepas dia sendiri bertindak menembak mati mangsa.
Menurut polis, sebahagian mayat Jonathan Amerault ditemukan dalam keadaan ngeri di sebuah tapak perkhemahan terpencil di utara New Hampshire, Amerika Syarikat beberapa hari selepas mangsa dilaporkan hilang.
Polis berkata, selain memenggal kepala, Armando Barron, 30, dipercayai turut memaksa isterinya, Britany Barron, 31, memotong pergelangan tangan ketika mangsa masih hidup sebelum memenggal leher dan kepala mangsa sehingga identitinya tidak dikenali.
Polis berkata, hasil siasatan lanjut, kepala mangsa ditemukan di kawasan perkuburan yang ditutup dengan menggunakan batu kerikil manakala badan mangsa pula dipercayai dibuang ke dalam sungai.
Penemuan mayat mangsa selepas pegawai alam sekitar New Hampshire menerima laporan penemuan mayat.
Britany dan suaminya bagaimanapun berjaya ditahan pihak berkuasa.
Armando didakwa atas kesalahan membunuh manakala Britany pula didakwa atas kesalahan pemenggalan dan menyembunyikan mangsa.
Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pendakwaan dibacakan di mahkamah Cheshire County dan tidak diberikan ikat jamin.
Peguam Britany berkata, anak guamnya bertindak kerana tertekan oleh suaminya sehingga terpaksa mengikut semua kemahuannya.
#mayat #hilang #polis #tembak #mangsa #mati #siasatan #anak #lelaki #bunuh #jenayah
;