Lelaki tembak isteri, 4 anak dalam pertelingkahan keluarga

Agensi
November 17, 2019 07:38 MYT
Jose menembak isteri dan empat anaknya sebelum membunuh diri. -Gambar hiasan
SEORANG lelaki tergamak menembak isteri dan empat anak lelakinya dalam satu pertelingkahan keluarga di San Diego, Amerika Syarikat.
Lelaki berkenaan dilapor membunuh diri selepas membunuh kesemua mangsa di kediaman tersebut.
Menurut portal berita news.com.au, polis menerima laporan daripada jiran yang terdengar jeritan dan bunyi tembakan di kawasan perumahan Paradise Hills, di sini.
Polis yang tiba di tempat kejadian ternampak mayat seorang kanak-kanak terbaring diseliputi darah dari luar tingkap rumah.
Mereka kemudiannya memecahkan tingkap dan menemukan lima lagi mayat dengan kesan tembakan.
Ahli keluarga yang maut dikenal pasti sebagai José Valdivia, 31; Sabrina Rosario, 29; serta tiga anak lelaki mereka iaitu Enzie, 3; Zuriel, 5; dan Zeth, 11.
Seorang lagi anak lelaki mereka, Ezekiel yang berusia 9 tahun, kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Kakak Sabrina, Jocelyn berkata kedua-dua pasangan itu merupakan pasangan kekasih sejak sekolah menengah, namun adiknya bertindak memfailkan perceraian baru-baru ini.
Menurutnya, Sabrina berjaya mendapatkan perintah sekatan terhadap suspek José pada Jumaat.
Tambah Jocelyn, José kemudiannya tidak tinggal sebumbung dengan Sabrina dan sering mengganggu Sabrina dengan menghantar gambar pistolnya.
Polis dalam pada itu percaya suspek telah datang ke rumah Sabrina pada pagi hari kejadian dan berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum suspek menembak ahli keluarga menggunakan pistol miliknya.
“Setelah sedar dengan perlakuannya, suspek juga dikatakan menembak dirinya sendiri,” kata jurucakap polis.
#bunuh #Hospital #Kanak-kanak #keluarga #mangsa #maut #polis #rumah #suspek #tembakan
;