Lelaki tahan tebusan kerana dendam di Jepun
Sinar Harian
November 1, 2023 19:00 MYT
November 1, 2023 19:00 MYT
PIHAK berkuasa Jepun pada Rabu menyiasat motif insiden kekecohan ditimbulkan seorang lelaki berusia 86 tahun setelah drama tebusan selama lapan jam di sebuah pejabat pos yang menggemparkan negara itu berakhir.
Media tempatan melaporkan suspek dikenali sebagai Tsuneo Suzuki turut membakar rumahnya di sebuah apartment di bandar Toda, lapor AFP.
Dia turut melakukan serangan tembakan di Hospital Besar Todachuo di Saitama yang terletak di luar Tokyo hingga menyebabkan dua mangsa termasuk seorang pesakit cedera ketika kejadian pada Selasa.
"Dia meminta kepada polis untuk bertemu 'seseorang'. Siasatan awal mendapati pesara bersenjata itu mungkin menyimpan dendam terhadap perkhidmatan pos dan berang dengan layanan seorang doktor di hospital berkenaan.
"Dua wanita yang menjadi tebusan Suzuki bagaimanapun selamat," kata jurucakap pihak berkuasa.
Stesen TV turut menyiarkan anggota keselamatan mengepung lokasi yang menempatkan kedua-dua tebusan tersebut.
Individu itu ditahan selepas salah seorang mangsa tebusan dibebaskan manakala mangsa kedua berjaya melarikan diri.
Ketika diberkas, Suzuki turut membawa beberapa senjata berbahaya lain termasuk dua bilah pisau dan botol berisi cecair.
Sementara itu, beberapa jiran Suzuki menggambarkan warga emas yang tinggal bersendirian itu sebagai seorang yang peramah.
"Saya tidak pernah melihat pistol atau sebarang senjata berbahaya di dalam biliknya," lapor akhbar Asahi Shimbun memetik kenyataan seorang rakannya.
Kadar jenayah di Jepun adalah sangat rendah malah keganasan seumpama itu hampir tidak berlaku di negara tersebut yang melaksanakan beberapa undang-undang senjata api paling ketat di dunia. - Sinar Harian memetik agensi