Lelaki siasat kematian Dodi dan Diana, meninggal dunia, bawa bersama rahsia tragedi
Agensi
September 20, 2019 13:14 MYT
September 20, 2019 13:14 MYT
INDIVIDU yang menjalankan penyiasatan bersendirian bersifat kontroversi ke atas punca kematian Puteri Diana dan kekasihnya Dodi Al Fayed, telah meninggal dunia, membawa bersamanya rahsia kemalangan yang menggemparkan itu ke liang lahad.
John Macnamara, 83 tahun, merupakan Ketua Detektif Superintendan Met sebelum menjadi ketua sekuriti ayah Dodi iaitu Mohamed Al-Fayed.
Pada hari kejadian iaitu sekitar Ogos 1997, beliau telah ke Paris dan membuat siasatan persendirian walaupun kes itu di bawah polis Perancis dan United Kingdom ketika itu.
Susulan kematiannya, seorang rakannya memberitahu agensi berita, The Mirror mengenai impak yang mendalam berhubung siasatan berkenaan ke atas kehidupan beliau, sewaktu tahun-tahun terakhir kehidupan Macnamara.
Menurut rakannya itu, Macnamara merasakan bagaimana siasatan polis Perancis dan United Kingdom dilakukan menimbulkan rasa kekecewaan yang mendalam kepada beliau.
Pada 2008, sewaktu inkues kematian Diana, 36 tahun, Dodi, 42 tahun, serta pemandu mereka Henri Paul, 41 tahun, Macnamara dilaporkan mengaku tidak berkata benar mengenai tahap kemabukan Paul pada malam itu, dan sama ada Diana mengandung sebelum terbunuh dalam kemalangan itu.
Siasatan Macnamara juga dilaporkan bercanggah sama sekali dengan siasatan polis.
“Pemerhatian ke atas bukti berkaitan kawasan kemalangan berkenaan, tahap kerosakan Mercedes itu, serta sampel darah pemandu, berada dalam keadaan bercelaru, dan petunjuk utama telah diabaikan,” ujar rakannya lagi.
Oleh kerana pencanggahan siasatan itu, rakannya berkata, ia telah memberi kesan yang sungguh mendalam terhadap Macnamara.
#Dodi Al Fayed
#Henri Paul
#John Macnamara
#Keluarga DiRaja Britain
#kemalangan
#lelaki
#Puteri
#Puteri Diana