Lelaki serah diri kepada polis India selepas penggal, buang kepala isteri

Agensi
Ogos 16, 2019 08:19 MYT
Rakaman CCTV menunjukkan Pradeep membawa kepala isterinya dalam keadaan tergesa-gesa sambil sebelah tangannya memegang sebilah pisau. - Gambar hiasan
Berang dengan tindakan isteri yang melaporkan kes keganasan rumah tangga mereka kepada polis, seorang suami bertindak memenggal kepala wanita itu sebelum membuangnya ke dalam tempat saluran air.
Kejadian sadis yang berlaku di Vijayawada, India pada Sabtu turut menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk sekitar apabila suspek, Predeep Kumar, bertindak membawa kepala isterinya, Manikranti, di hadapan khalayak.
Menurut laporan India Today, Pradeep mencederakan isterinya menggunakan pisau di rumah mereka sebelum membunuh wanita itu akibat berang dia terpaksa meringkuk di dalam penjara apabila mangsa melaporkan kes keganasan rumah tangga mereka.
Sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sudut kejiranan mereka menunjukkan Pradeep membawa kepala isterinya dalam keadaan tergesa-gesa sambil sebelah tangannya memegang sebilah pisau.
Pradeep kemudian melemparkan kepala itu ke dalam tempat saluran air sebelum menyerah diri ke balai polis di Satyanarayanapuram.
Wakil Komisioner Polis, Vijay Rao memberitahu wartawan, pihaknya kini masih melakukan pencarian kepala mangsa sementara tubuhnya telah dipindahkan ke hospital untuk proses pengecaman.
Menurut hasil siasatan awal, Pradeep telah menikah dengan mangsa selama lima tahun, namun kehidupan rumah tangga keduanya kerap diwarnai pertengkaran.
Sebelum terjadinya insiden pembunuhan, Manikranti dilaporkan sempat melaporkan kes keganasan atau kekerasan dalam rumah tangga mereka, menyebabkan Pradeep ditahan.
"Pradeep mungkin melakukan pembunuhan brutal tersebut sebagai tindakan balas dendam kepada mangsa yang membuatnya dipenjarakan," kata polis.
#CCTV #India #keganasan #keganasan rumah tangga #mangsa #pembunuhan brutal #penggal kepala isteri #penjara #pisau #polis #saluran air #siasatan #suspek
;