Lelaki saman wanita kerana tak mahu teruskan hubungan romantik

Sinar Harian
Februari 2, 2023 11:50 MYT
Tuntutan itu berpunca daripada kekecewaan kerana Nora tidak mahu menunaikan permintaannya untuk mengeratkan lagi hubungan mereka. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Seorang lelaki di Singapura mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan wanitanya kerana tidak mahu meneruskan hubungan romantik antara mereka.
Dalam satu kes di Mahkamah Tinggi republik itu, K. Kawshigan menyaman Nora Tan sebanyak S$3 juta (RM9.8 juta) atas 'trauma emosi' yang dihadapinya selepas Nora hanya menganggapnya sebagai seorang kawan selama ini.
Dia juga mendakwa wanita itu melanggar satu perjanjian antara mereka dalam satu saman berasingan berjumlah S$22,000 (RM71,830).
Majistret bagaimanapun menolak saman itu pada bulan lalu kerana dianggap menyalahgunakan proses pengadilan.
Menurut penghakiman, tuntutan itu berpunca daripada kekecewaan kerana Nora tidak mahu menunaikan permintaannya untuk mengeratkan lagi hubungan mereka.
Hubungan mereka bermula pada 2016 namun konflik antara keduanya bermula sejak September 2020 apabila Kawshigan dan Nora tidak bersetuju antara satu sama lain mengenai hubungan mereka.
Notis tuntutan dihantar Kawshigan pada bulan berikutnya, yang antara lain mengugut tindakan undang-undang dikenakan atas kos dikeluarkannya untuk tekanan emosi.
Mereka turut menyertai satu sesi kaunseling dan Nora berharap agar Kawshigan menerima hakikat persahabatan mereka.
Namun sesi itu menjadi sia-sia kerana lelaki itu tidak mahu menerima bahawa Nora hanya menganggap dia sebagai sahabat.
Nora turut memfailkan prosiding gangguan terhadap Kawshigan. - Sinar Harian/Agensi
#saman #hubungan romantik #trauma emosi #kawan
;