Lelaki positif dadah selepas makan roti
Astro Awani
Jun 12, 2021 10:11 MYT
Jun 12, 2021 10:11 MYT
KEPADA mereka yang ingin menghadiri temuduga kerja, pastikan anda mengelak beberapa makanan yang mungkin akan menyebabkan permohonan anda ditolak.
Seorang lelaki di England dilaporkan gagal dalam saringan dadah yang dilakukan semasa hadiri temuduga kerja baru-baru ini.
Menurut laporan Plymouth Live, lelaki yang tidak dinamakan itu menafikan mengambil sebarang dadah atau ubat sebelum hadiri temuduga tersebut.
Namun ujian saringan dadah menunjukkan dia positif dadah jenis opium.
Menurut adik lelaki berkenaan, abangnya itu hanya memakan beberapa keping roti yang diletakkan biji kaskas dan ini dilaporkan telah memberi keputusan palsu pada ujian saringan dadah.
Dalam laporan MedicalNewsToday, biji kaskas itu sendiri tidak mengandungi dadah opium namun ia boleh terserap ke dalam biji berkenaan semasa ia diproses.
Menurut laporan itu lagi, ini bukan kali pertama insiden seperti itu berlaku.
Pada tahun 2018, seorang doktor membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang baru sahaja bersalin selepas sampel darah yang diambil menunjukkan keputusan positif dadah.
Siasatan yang dijalankan mendapati wanita berkenaan telah makan roti yang diletakkan biji kaskas sebelum bersalin.