'Lelaki Pokok' Bangladesh perlu jalani 15 kali pembedahan
Agensi
Februari 28, 2016 21:41 MYT
Februari 28, 2016 21:41 MYT
Seorang lelaki Bangladesh yang digelar ‘Lelaki Pokok’ kerana komplikasi ketumbuhan ketuat yang teruk pada kedua-dua tangannya perlu menjalani banyak lagi prosedur pembedahan untuk membuangnya, lapor AFP.
Sekumpulan doktor telah menjalankan pembedahan ke atas tangan kanan Abul Bajandar, 26, pada Sabtu untuk membuang sebahagian daripada ketumbuhan kecil, ujar Pengarah Hospital Kolej Perubatan Dhaka Samanta Lal Sen, pada Ahad.
Lelaki itu dimasukkan ke hospital bulan lalu untuk membuang sebahagian daripada ketumbuhan itu yang mencapai berat sekurang-kurangnya 5 kilogram, yang kali pertama tumbuh sekitar 10 tahun lalu.
“Kami telah membuang beberapa ketuat kecil di tapak tangannya. Kami juga telah merawat jari-jarinya minggu sebelumnya. Dia kini lebih baik,” ujar Sen.
Namun Bajandar memerlukan sehingga 15 kali pembedahan untuk ‘membersihkan’ kesemua ketuat tersebut, yang memakan masa antara enam bulan hingga setahun.
Bajandar, yang berasal dari wilayah Khulna, didiagnosis dengan epidermodysplasia verruciformis, iaitu masalah genetik yang sangat janggal hingga menyebabkan ketumbuhan seperti kulit pokok.
Dia kini menjadi ‘selebriti’, dengan orang sanggup berjalan jauh ke Khulna untuk melihatnya selain yang dating terus ke hospital. Bajandar berkata dia mahu terus menjalani rawatan walau berapa lama pun masa diperlukan.
"Saya tidak akan pulang ke kampung selagi kaki dan tangan saya tidak pulih sepenuhnya. Saya mahu kehidupan saya yang dahulu,” ujar bapa kepada seorang anak itu.
Bajandar telah menerima lampu hijau untuk menjalani pembedahan setelah disahkan ketumbuhannya tidak menjurus kepada barah. Kerajaan Bangladesh juga mengambil keputusan untuk menanggung kos rawatannya.