Lelaki persenda Erdogan sebagai 'Gollum' berdepan hukuman penjara

Agensi
Jun 23, 2016 23:26 MYT
Cetin menyamakan Erdogan (gambar) dengan watak makhluk popular bernama Gollum dari trilogi Lord of the Rings. - Foto AFP
Seorang lelaki yang mempersenda Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dengan menyamakannya dengan watak dari filem Lord of the Rings iaitu Gollum berdepan hukuman penjara kerana menghina.
Rifat Cetin berdepan hukuman penjara setahun jika mengulangi kesalahan lain dalam tempoh lima tahun, lapor akhbar Hurriyet.
Sebuah mahkamah di Altalya telah menjatuhkan hukuman ke atas Cetin kerana menyamakan pemimpin tertinggi Turki itu dengan Gollum, iaitu makhluk ‘kecil dan berlendir’ seperti watak fantasi dari novel J.R.R. Tolkien.
Cetin melakukan kesalahan melalui media sosial.
Di bawah undang-undang Turki, kesalahan seperti itu boleh dihukum penjara sehingga empat tahun.
Pihak pendakwaraya telah mendakwa lebih daripada 1,800 orang, termasuk kartunis dan bekas ratu cantik Turki, kerana menghina Erdogan.
Mahkamah juga telah melucutkan hak penjagaan anak Cetin tanpa memberi butiran lanjut, lapor media tempatan.
Pada tahun 2014, Cetin telah memuat naik suntingan imej ke akaun Facebook yang menunjukkan tiga gambar Erdogan dengan Gollum.
Cetin difahamkan akan membuat rayuan terhadap hukuman itu dengan alasan bahawa Erdogan bukan Presiden, tetapi hanya Perdana Menteri, ketika imej berkenaan dimuat naik.
Gollum muncul dalam filem-filem blockbuster The Hobbit dan trilogi Lord of the Rings.
Makhluk itu digambarkan sebagai watak jahat yang menjadi mangsa kepada kuasa tanpa batas dari sebentuk cincin hingga mencelarukan tubuh dan mindanya.
#Gollum #hukuman penjara #menghina Presiden #Presiden Turki #Recep Tayyip Erdoga
;