Lelaki pakai kostum 'Joker' serang, cederakan penumpang kereta api Tokyo

Reuters
Oktober 31, 2021 22:47 MYT
Orang ramai berlari keluar dari kereta api. - Foto Reuters
TOKYO: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang memakai kostum Joker menyerang dan mencederakan penumpang yang menaiki kereta api ke pusat bandar Tokyo untuk sambutan Halloween, lapor Reuters.
Sekurang-kurangnya 10 orang cedera, dengan salah seorang mangsa ialah seorang warga emas lelaki berusia 60an yang kini dalam keadaan kritikal selepas ditikam menggunakan pisau.
Kejadian berlaku di di laluan ekspres Keio menuju ke Shinjuku, stesen kereta api paling sibuk di dunia, kira-kira jam 8 malam.
Saksi mendakwa penyerang juga memulakan kebakaran dalam kereta api.
Satu video yang dimuat naik di Twitter dan disiarkan di NHK menunjukkan orang awam melarikan diri keluar dari kereta api sebelum letupan kecil yang menyebabkan kebakaran. Sebuah lagi video menunjukkan penumpang bergegas keluar dari tingkap kereta api menuju ke platform.
"Saya lihat orang ramai berlari keluar, saya fikir ia aksi lakonan sempena Halloween. Tetapi kemudian saya nampak lelaki itu, membawa pisau," kata saksi kepada akhbar Yomiuri.
Suspek kini sudah ditahan pihak polis.
#Tokyo #serangan #kereta api #Holloween #shinjuku
;