Lelaki OKU tidak dibenar menaiki pesawat kerana kerusi roda terlalu berat
Astro Awani
November 7, 2021 13:00 MYT
November 7, 2021 13:00 MYT
SEORANG lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) tidak dibenarkan menaiki pesawat atas alasan kerusi rodanya terlalu berat.
Brandon Aughton, 24, yang mengalami cerebral palsy sepatutnya menaiki pesawat Ryanair dari Lapangan Terbang East Midlands ke Malaga, Sepanyol untuk bercuti bersama penjaganya pada 11 Oktober lepas.
Aughton mengalami masalah yang melibatkan kemahiran motor termasuk imbangan, pergerakan dan koordinasi.
Setelah memasuki pesawat berkenaan, syarikat pengendali kargo, Swissport, mendapati kerusi roda Aughton terlalu berat untuk dimasukkan ke dalam pesawat.
Aughton kemudian diiringi keluar daripada pesawat berkenaan dan terpaksa menempah tiket penerbangan menggunakan pesawat lain kerana ingin menerukan percutiannya ke Sepanyol.
"Sebelum ini saya tidak pernah menghadapi masalah seperti ini. Saya sangat marah," katanya memetik laporan Nottinghamshire Live.
Jurucakap Lapangan Terbang East Midlands berkata, syarikat itu kesal dengan kejadian yang menimpa Aughton.
"Kami telah berhubung dengan pelanggan terbabit dan perkara ini telah berjaya diselesaikan," katanya.