Lelaki nyaris maut dihempap kayu balak
Afiq Ariffin
Oktober 22, 2019 13:29 MYT
Oktober 22, 2019 13:29 MYT
AJAL dan maut ditangan tuhan.
Itu peribahasa sesuai digunakan bagi menggambarkan situasi yang berlaku ke atas lelaki ini.
Lelaki itu terselamat daripada ditimpa kecederaan serius selepas puluhan batang kayu balak dari sebuah lori, terjatuh dan menghempap kenderaannya.
Ketika kejadian, lelaki yang berasal dari Georgia, Amerika Syarikat itu dikhabarkan sedang memandu kenderaannya di Lebuh Raya Cleveland, Dalton.
Ajaibnya, dia terselamat dari kecelakaan itu kerana sedang mengambil sesuatu yang terjatuh di dalam keretanya.
Gambar-gambar kemalangan tersebut juga mula tular dan dimuat naik di laman Facebook Jabatan Bomba Daerah Whitfield.
Muat naik tersebut turut menunjukkan keadaan kenderaan lelaki itu yang remuk dihempap kayu balak yang banyak.
Ketua Bomba Whitfield County Edward O'Brien memberitahu CNN bahawa kemalangan itu berlaku apabila pemandu itu bersandar untuk mengambil sesuatu yang dia telah jatuh di dalam kenderaannya.
"Dia sangat bernasib baik, ia seolah-olah ditakdirkan untuk terselamat daripada kemalangan itu," jelas O'Brien.
Jelasnya lagi, lelaki itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kenderaan tersebut telah rosak sepenuhnya, dengan kayu balak menghempap cermin depan dan menembusi cermin belakang kereta itu.
Apabila anggota bomba muncul ke tempat kejadian, mereka terpaksa memotong kira-kira 30 hingga 40 kayu balak menggunakan mesin gergaji sebelum mereka boleh mengeluarkan pemandu berkenaan daripada keretanya.