Lelaki nekad buka pintu pesawat selepas bertengkar dengan kekasih
Sinar Harian
Januari 11, 2025 13:35 MYT
Januari 11, 2025 13:35 MYT
GARA-GARA bertengkar dengan teman wanita, seorang lelaki nekad membuka pintu pesawat yang bersedia untuk berlepas walau cuba dihalang penumpang yang lain.
Kejadian itu melibatkan warga Puerto Rico, Angel Luis Torres Morales dihadapkan di Mahkamah Perbandaran Boston, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu atas tuduhan mengganggu operasi pesawat kendalian JetBlue.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan bakal tampil untuk prosiding seterusnya pada 4 Mac depan.
Jurucakap Polis Negeri Massachusetts, Tim McGuirk berkata, Morales melakukan perbuatan itu pada jam 7.30 petang (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Boston Logan pada Selasa lalu.
"Tindakannya telah mengaktifkan gelongsor kecemasan pada pesawat penerbangan 161 dari Boston ke San Juan tersebut selain menyebabkan penumpang lain panik.
"Ada yang menjerit ketakutan dan meminta dia berhenti berbuat demikian," ujarnya.
Siasatan awal berdasarkan keterangan penumpang yang duduk di belakang Morales mendapati, dia bergaduh dengan kekasihnya melalui panggilan telefon.
"Dia kemudiannya bangun dan berlari menuju ke pintu keluar lalu membukanya," jelasnya lagi.
Sementara itu, JetBlue dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat pengganti telah digunakan untuk membawa penumpang ke destinasi. - Sinar Harian/ Agensi