Lelaki meninggal dunia selepas teguk minuman soda

Sinar Harian
September 26, 2021 00:01 MYT
Kejadian berlaku di Beijing selepas seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat meminum minuman soda 1.5 liter dalam masa 10 minit. - Gambar hiasan
BEIJING: Seorang lelaki di China meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di bahagian hati dipercayai akibat meneguk sejenis minuman soda sebanyak 1.5 liter dalam tempoh 10 minit baru-baru ini.
Kejadian itu diterbitkan dalam jurnal 'Clinic and Research in Hepatology and Gastroenterology' atau Klinik dan Penyelidikan dalam Hepatologi serta Gastroenterologi.
Lelaki yang berusia 22 tahun itu didapati meninggal dunia akibat kandungan gas yang terlalu banyak dalam badannya susulan meminum minuman tersebut.
Dia dilaporkan telah pergi untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Beijing selepas terasa sakit di bahagian perut.
Ketika tiba di hospital, dia mengalami tekanan darah rendah, kadar denyutan jantung yang tinggi dan bernafas dengan cepat.
Anggota-anggota perubatan kemudian berusaha mengeluarkan gas daripada sistem pencernaannya.
Lelaki berkenaan memberitahu doktor dia meminum sebanyak 1.5 liter soda bagi menyejukkan badan ekoran cuaca panas.
Lelaki tersebut meninggal dunia 18 jam selepas menerima rawatan di hospital.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#soda #meninggal dunia #kerosakan hati