Lelaki mengaku tidak bersalah atas dakwaan cubaan bunuh Trump
Astro Awani
Oktober 1, 2024 08:45 MYT
Oktober 1, 2024 08:45 MYT
FLORIDA: Seorang lelaki yang didakwa cuba membunuh Donald Trump di luar salah satu padang golf Florida 15 September lalu, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di mahkamah.
Ryan Routh, 58, membuat pengakuan semasa perbicaraan di hadapan hakim majistret Amerika Syarikat, Bruce Reinhart.
Routh diperintahkan untuk kekal dalam penjara sementara menunggu perbicaraan.
Dia hadir untuk pendengaran dalam keadaan bergari dan memakai pakaian penjara dan mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Peguam Bela Routh kemudiannya membuat pengakuan tidak bersalah bagi pihaknya.
Pendakwa Raya berkata, Routh berniat untuk membunuh Trump ketika dia bermain golf di Kelab Golf Antarabangsa Trump di West Palm Beach.
Routh, yang juga seorang kontraktor, mengutuk calon Presiden Republikan dalam buku terbitan sendiri.
Dia juga menulis surat beberapa bulan sebelumnya kepada rakan sekutunya merujuk percubaan pembunuhan ke atas Trump.
Routh bersembunyi di luar pagar kelab golf itu di mana pihak berkuasa menemui senapang AK-47, beg makanan ringan, kamera digital dan beg yang mengandungi plat logam yang bertujuan untuk menahan tembakan balas oleh perkhidmatan rahsia Amerika Syarikat (AS).
Ejen perkhidmatan rahsia yang membuat rondaan di hadapan Trump ternampak Routh dan melepaskan tembakan selepas melihat senapang itu melekat di pagar.
Routh melarikan diri dan kemudiannya ditangkap di lebuh raya Florida.
Insiden Florida adalah percubaan pembunuhan kedua yang jelas terhadap Trump dalam tempoh kira-kira dua bulan.
Sebelum itu, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan mencederakan telinga kanan Trump serta membunuh seorang peserta rapat umum pada perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania.