Lelaki maut, dua lagi cedera parah dalam letupan bom di Narathiwat

Bernama
Ogos 7, 2022 21:02 MYT
Kekuatan letupan dan serpihan bom menyebabkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera parah.
NARATHIWAT: Seorang orang awam maut manakala dua lagi cedera dalam satu insiden letupan bom di Narathiwat, selatan Thailand, hari ini.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mej. Jen. Pol. Waesamae Salae berkata dalam insiden kira-kira 8.30 malam (waktu tempatan) pada Sabtu, mangsa yang terbunuh berteduh di sebuah pondok berdekatan sebuah pos kawalan bersama isterinya yang turut cedera dalam kejadian itu.
"Sebutir bom buatan sendiri seberat 20 kilogram yang dipasang pada tong gas dan diletakkan di atas sebuah motosikal yang diubah suai dan ia diaktifkan menggunakan walkie-talkie.
"Kekuatan letupan dan serpihan bom menyebabkan lelaki berusia 74 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, 57 tahun, cedera parah," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata seorang lelaki, 56, berada dalam sebuah rumah berdekatan turut cedera apabila terkena bumbung rumah yang runtuh akibat kekuatan letupan bom.
"Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di hospital" katanya.
-- BERNAMA
#letupan bom #selatan thailand #Narathiwat #lelaki maut
;