Lelaki maut ditetak depan isteri sarat mengandung
Astro Awani
September 15, 2018 14:26 MYT
September 15, 2018 14:26 MYT
Seorang lelaki maut selepas ditetak seorang individu yang didakwa diupah iparnya sendiri.
Lebih menyedihkan, dia ditetak di hadapan isterinya yang sedang sarat mengandung.
Kejadian berlaku di Bandar Miryalaguda, Hyderabad, India semasa pasangan itu sedang berjalan keluar dari sebuah hospital.
Mangsa, Pranay Kumar dan isterinya, Amruta dikatakan baru sahaja selesai mendapatkan pemeriksaan rutin ibu hamil dari hospital itu.
Ketika kejadian, pasangan itu berjalan berpegangan tangan sebelum seorang lelaki menerkam mangsa dan menetaknya dengan parang sebanyak dua kali.
Video rakaman litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian turut tular di media sosial.
Laporan berita tempatan menyebut bahawa serangan itu ada kaitan dengan pembunuhan demi maruah memandangkan pasangan Pranay dan Amrutha tergolong dalam kasta yang berbeza.
Pasangan ini dikatakan meneruskan perkahwinan enam bulan lalu walaupun mendapat tentangan daripada keluarga.
Polis sedang menganalisis rakaman CCTV berkenaan dan menyiasat kemungkinan iparnya terlibat dalam pembunuhan itu.