Lelaki maut ditembak polis selepas insiden tembakan di gereja di New York
Astro Awani
Disember 14, 2020 10:59 MYT
Disember 14, 2020 10:59 MYT
SEORANG lelaki ditembak polis selepas beberapa das tembakan dilepaskan di New York pada petang Ahad waktu tempatan.
Insiden berlaku selepas satu konsert Krismas di sebuah gereja terkenal di Manhattan, Cathedral of St John the Divine.
Selepas konsert itu berlangsung selama 45 minit, orang mula beredar apabila beberapa siri tembakan dilepaskan, menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri.
Pegawai polis yang ditugaskan menjaga keselamatan pada acara tersebut mengambil tindakan pantas dan menembak penyerang itu.
Pegawai tempatan Manhattan, Mark Levine berkata, lelaki yang kelihatan mengalami gangguan emosi itu memanjat perancah di gereja dan "mula menembak secara rambang ke udara."
"Dia menjerit mengatakan dia mahu dibunuh," katanya menerusi Twitter. "Polis tiba dengan segera. Suspek telah ditembak."
Menurut laporan media tempatan, penyerang itu, yang berusia 50-an, ditahan polis dan dibawa ke sebuah hospital kerana mengalami kecederaan parah.
Dia kemudiannya meninggal dunia di Hospital St Luke's.
Tiada kecederaan lain dilaporkan.
#New York
#polis
#maut
#meninggal dunia
#suspek
#tembakan
#konsert
#keselamatan
#Twitter
#gereja
#Manhattan
#Krismas