Lelaki maut ditembak polis gara-gara panggilan palsu

Agensi
Disember 30, 2017 10:03 MYT
Suasana di lokasi kejadian di Wichita, Kansas yang melibatkan kes seorang lelaki ditembak mati oleh polis selepas membuat panggilan palsu. - Reuters
Gara-gara panggilan palsu dan mahu berjenaka, seorang lelaki berusia 28 tahun di Wichita, Kansas maut ditembak polis.
Mangsa yang dikenali sebagai Andrew Finch telah ditembak mati polis di hadapan pintu rumahnya.
Polis Wichita mengesahkan menerima panggilan kecemasan yang mengatakan bahawa mangsa telah menembak mati ayahnya dan akan menembak ibunya serta menjadikan adik-beradiknya sebagai tebusan.
Timbalan Ketua Polis Wichita Troy Livingston berkata polis yang tiba di lokasi sejurus panggilan diterima telah terlihat Finch di hadapan pintu rumahnya.
Polis terpaksa melepaskan tembakan kerana Finch didakwa cuba menyeluk sesuatu dari pinggangnya sebelum membuka pintu rumahnya.
Finch kemudian maut di tempat kejadian.
Hasil siasatan lanjut mendapati tiada senjata pada tubuh mangsa serta tiada sebarang kecederaan mahupun kematian yang berlaku di rumah terbabit.
Polis berkata panggilan palsu yang memaksa pasukan khas bersenjata ke sesebuah lokasi sering berlaku dan biasanya dilakukan oleh pemain permainan video maya.
Mengikut trend, panggilan palsu yang melibatkan serbuan pihak berkuasa adalah taktik kotor pemain permainan video untuk mengganggu tumpuan pemain lawan.
Namun menurut keluarga mangsa, Finch tidak bermain sebarang permainan video dan kejadian adalah satu perangkap.
Siasatan lanjut kini masih dijalankan.
#lelaki #mangsa #mati #maut #panggilan palsu #polis #tembakan
;