Lelaki maut diserang badak air peliharaan
Afiq Ariffin
Disember 17, 2020 11:24 MYT
Disember 17, 2020 11:24 MYT
CAPE TOWN: Seorang lelaki di Afrika Selatan maut selepas diserang haiwan peliharaannya iaitu seekor badak air.
Marius Els, 40, seorang petani yang menetap di wilayah Free State di Afrika Selatan ditemui mati berhampiran sungai selepas digigit haiwan itu berulang kali.
Els dilapor telah memelihara badak air yang dinamakan "Humphrey" itu sejak ia masih kecil.
Difahamkan Humphrey seekor badak air yang sangat jinak dan sering menyahut apabila dipanggil tuannya.
Haiwan itu juga dikatakan suka bermain, malah Els sering memberus gigi haiwan kesayangannya itu.
Malah Els dilapor pernah berkata Humprey ibarat anaknya sendiri.
Terdahulu, satu klip rakaman video yang memaparkan Els menunggang haiwan seberat 907 kilogram menjadi tular di media sosial.
Perkara itu dianggap sebagai kejadian ‘luar biasa’ kerana haiwan liar tersebut bukan spesies yang jinak.
Menurut jurucakap paramedik, Els ditemui terbaring di tebing sungai dengan beberapa kesan gigitan haiwan.