Lelaki maut dirempuh pesawat komersial sedang mendarat

Afiq Ariffin
Mei 8, 2020 14:00 MYT
Jurucakap lapangan terbang, Bryce Dubee berkata pegawainya tidak tahu bagaimana lelaki yang tidak dikenali itu berada di landasan. -Foto Southwest Airlines
SEORANG lelaki terbunuh selepas dirempuh sebuah pesawat komersial yang sedang mendarat di laluan pendaratan di Lapangan Terbang Austin, Texas, pada malam Khamis.
Menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), juruterbang pesawat Southwest Airlines 1392 itu sedang membuat pendaratan sebelum melihat seorang individu berada di laluan tersebut.
Pesawat berkenaan selamat mendarat pada jam 8.12 malam waktu tempatan.
Jelas kenyataan itu lagi, kakitangan operasi lapangan terbang bergegas ke lokasi dan menemukan mayat lelaki tersebut di atas landasan.
Jurucakap lapangan terbang, Bryce Dubee berkata pegawainya tidak tahu bagaimana lelaki yang tidak dikenali itu berada di landasan.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut bagi menentukan punca kejadian.
Difahamkan, pesawat jenis Boeing 737 itu membuat pendaratan di lapangan terbang itu selepas berlepas dari Dallas.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut dilaporkan.
#Boeing #Bryce Dubee #lelaki #maut #mayat #operasi #penerbangan #pesawat #Texas
;