Lelaki mati tertimbus ketika kerja penurapan jalan di India
Hamzah Hamid
September 21, 2015 21:20 MYT
September 21, 2015 21:20 MYT
Seorang lelaki di India maut apabila tertanam hidup-hidup di dalam lurang ketika kerja penurapan jalan dijalankan.
Pekerja penurap jalan yang tidak menyedari mangsa terbaring tidak sedarkan diri di dalam lurang tersebut bertindak menimbusnya dengan bitumen, lapor Times of India.
Pihak berkuasa di Katni, di tengah-tengah negeri Madhya Pradesh, sedang menyiasat insiden itu dan berjanji untuk memberi pampasan kepada balunya.
Mangsa berusia 45 tahun bernama Latori Barman itu sebelum itu dikatakan sedang berjalan pulang dari sebuah tempat keramaian sebelum terjatuh ke dalam lurang tersebut.
“Keadaan ketika itu sangat gelap dan tiada sebarang isyarat kecemasan yang jelas. Dia mungkin dalam keadaan mabuk ketika terjatuh ke dalam lurang di antara perkampungan Udlana dan Hata.
“Para pekerja penurap jalan pula tidak menyedari kehadiran mangsa ketika menimbus lubang tersebut dengan bitumen,” ujar seorang pegawai penyiasat.
Pekerja penurap jalan itu kemudian menggunakan jentera penggelek jalan untuk meratakan permukaannya.
Insiden itu hanya disedari apabila tangan mangsa terjulur keluar dari permukaan jalan dan dilihat seorang penduduk di situ.