Lelaki mati selepas 10 minit terima urutan tradisional Thai

Agensi
November 4, 2018 18:58 MYT
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ton baru 10 minit diurut sebelum dia tiba-tiba menghembuskan nafas terakhir. -Gambar hiasan
Selamatkah servis urutan tradisional yang sering menjadi tumpuan kebelakangan ini?
Persoalan itu tular di media sosial di negara Gajah Putih sejak Sabtu apabila berlaku kematian membabitkan seorang yang mendapatkan khidmat urutan di sebuah premis di sana.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ton baru 10 minit diurut sebelum dia tiba-tiba menghembuskan nafas terakhir, lapor portal berita tempatan Sanook dan Amarin.
Terdahulu mangsa dikatakan bermain bola sepak bersama rakan-rakan sebelum mengadu sakit akibat terkehel pada bahagian buku lalinya.
Ton kemudian mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan.
Namun seminggu kemudian, mangsa bersama beberapa rakannya pergi ke pasar terapung. Ketika di sana dia mengadu sakit pada kakinya dan mahu mendapatkan khidmat urutan.
Mangsa dikatakan baru berada di dalam premis itu selama 10 minit sebelum dia dilaporkan berhenti bernafas.
Malang baginya apabila ambulans hanya tiba 30 minit kemudian menyebabkan mangsa gagal diselamatkan.
Autopsi terhadap mayat mendapati mangsa mati akibat darah beku.
Isteri mangsa menerima takdir kematian suaminya dan tidak menyalahkan kedai urut terbabit serta enggan membuat laporan polis.
Kedai urutan Thai terbabit bagaimanapun dilapor memberikan sumbangan sebanyak 40,000 baht (kira-kira RM5,100) kepada keluarga mangsa.
#buku lali #media sosial #perubatan #terkehel #Thailand #urutan thai
;