Lelaki Malaysia ditemui mati dibunuh di Golok

Astro Awani
Jun 20, 2015 14:35 MYT
Lelaki Malaysia ditemui mati dibunuh di Golok
Seorang lelaki Malaysia berusia 47 tahun ditemui mati dengan kesan luka akibat tikaman di beberapa tempat di daerah Sungai Golok, Narathiwat pada pagi Sabtu, kata polis.
The Bangkok Post melaporkan, mayat lelaki Kelantan yang namanya tidak didedahkan, ditemui berhampiran tapak pelupusan sampah di Ban Torluebae kata Surasak Pornmat, seorang pegawai yang bertugas di Balai Polis Sungai Golok. Polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut sekitar 6.50 pagi pada Sabtu.
Polis dan pekerja penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan mendapati lelaki warga Malaysia itu terbaring dalam keadaan berlumuran dan kesan luka akibat tikaman pisau yang serius di kepala, bahu dan dada. Tiada sebarang kesan pergelutan atau mana-mana kesan serangan di lokasi mayat itu ditemui.
Pihak berkuasa percaya dia meninggal dunia sekurang-kurangnya 3 atau 4 jam sebelum mayat itu ditemui.
Mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk pemeriksaan bedah siasat. Polis Thailand telah mendapatkan bantuan rakan setugas mereka di Kelantan untuk menghubungi saudara-saudaranya.
Polis percaya lelaki tersebut mungkin telah menyeberangi sempadan atas urusan perniagaan di daerah ini atau mungkin telah melawat isterinya pada bulan Ramadan. Ketika melawat kawasan itu, dia mungkin telah terlibat dalam pertikaian dengan seseorang yang kemudian menikam beliau dan kemudian membuang mayatnya.
Polis sedang menyiasat perkara berkenaan.
#Golok #mati #Ramadan
;