Lelaki lumpuh guna implan otak kawal komputer dengan fikiran
Bernama
Mac 21, 2024 04:40 MYT
Mac 21, 2024 04:40 MYT
WASHINGTON: Seorang lelaki yang keempat-empat anggota tubuhnya menjadi lumpuh mampu mengawal komputer hanya menggunakan fikirannya.
Ia dicapai melalui implan otak yang dibangunkan oleh syarikat Neuralink milik bilionair Elon Musk, menurut rakaman video pencapaian itu yang dimuat naik di X.
Nolan Arbaugh, 29, adalah individu pertama yang menerima implan Neuralink. Arbaugh dalam video yang disiarkan pada Rabu berkata beliau lumpuh daripada bahagian bahu ke bawah akibat kemalangan semasa menyelam.
Video itu menunjukkan keupayaan Arbaugh untuk mengawal sebuah komputer hanya menggunakan pemikirannya.
Arbaugh mampu bermain permainan video menggunakan teknologi itu yang disifatkan Musk sebagai satu bentuk telepati, lapor Sputnik.
"Saya suka bermain catur dan ini adalah antara perkara yang saya boleh lakukan, sesuatu yang saya tidak dapat lakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," kata Arbaugh.
Arbaugh berkata walaupun teknologi itu masih belum sempurna tetapi tetap mengubah kehidupan. Pembedahan itu "sangat mudah".
Pada Januari, Musk berkata Neuralink telah berjaya memasang peranti pada otak manusia.
Musk menyatakan bahawa matlamat Neuralink adalah untuk membangunkan antara muka otak komprehensif yang menggabungkan peranti input dan output umum, membolehkan interaksi dengan semua bahagian otak.
-- BERNAMA