Lelaki lima tahun hilang ketika berkayak ditemui masih hidup

Agensi
Jun 30, 2015 09:56 MYT
Rodman dipercayai telah bersembunyi di kawasan tropika utara Queensland - Foto AFP
Seorang pelancong Amerika yang dipercayai hilang ketika berkayak di utara Australia lima tahun yang lalu, telah ditemui hidup oleh pihak polis yang ketika itu sedang membuat siasatan mengenai kejadian rompakan.
Lelaki yang bernama Kenneth Rodman, kali terakhir dilihat rakannya menuju ke pantai pada tahun 2010 berdekatan Port Douglas, 60km dari utara bandar Cairns.
Kayak Rodman telah ditemui sebulan kemudian tenggelam di perairan beberapa kilometer ke selatan dari mana kali terakhir dia dilihat.
Selepas itu, tiada siapa yang menjumpai Rodman yang berusia 55 tahun ketika itu.
"Rakan-rakan, keluarga dan polis tidak dapat menghubungi beliau sejak 2010,
"Pada Sabtu malam, ketika pegawai penyiasat sedang bertugas, pasukannya terjumpa seorang lelaki berusia 60 tahun didakwa telah mengaku kepada polis bahawa dirinya tersenarai sebagai orang hilang," kata Inspektor Glenn Horan dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Akhbar Cairns Post berkata, Rodman ditangkap selepas dikejar oleh anjing polis ketika pegawai polis sedang menyiasat kejadian kecurian yang kerap berlaku di Cairns.
Rodman dipercayai telah bersembunyi di kawasan tropika utara Queensland namun tidak diketahui sama ada beliau ada mendapatkan bantuan atau mungkin dia memalsukan kehilangannya.
"Kes Rodman tidak pernah ditutup dan polis mengandaikan Rodman mengelak untuk pulang dan membuat semua orang mempercayai berita kehilangannya agar dapat terus tinggal di Australia walaupun visanya sudah tamat tempoh,” kata Glenn.
Polis berkata, Rodman telah diserahkan kepada pegawai imigresen dan dijangka dihantar pulang ke Amerika Syarikat.
Seminggu sebelum itu, di kawasan yang sama, identiti seorang lelaki yang sudah menetap di situ selama 28 tahun terbongkar apabila dia dilaporkan adalah seorang dipercayai gangster dadah dari Florida.
Dennis "Lee" Lafferty yang juga pemillik taman buaya di kawasan itu meninggal dunia kerana kemalangan.
Akhbar Tampa Bay Times menulis Dennis atau nama sebenarnya 'Raymond Grady Stansel Jr' disahkan hilang ketika menyelam laut dalam oleh peguamnya sebelum perbicaraan kes dadahnya sekitar tahun 1985 bermula.
#Cairns Post #Kenneth Rodman #lelaki hilang