Lelaki lamar kekasih, buat pembentangan 'PowerPoint' depan bakal mentua

Mingguan Wanita
September 29, 2021 08:23 MYT
Yasher ketika menerangkan pelan kehidupan bersama kekasihnya selepas berumah tangga di hadapan bakal mentua. -Gambar Mingguan Wanita
MACAM-MACAM cara digunakan sebagai salah satu usaha untuk melamar kekasih hati untuk dijadikan isteri.
Baru-baru ini, seorang lelaki ternyata mempunyai cara unik untuk melamar kekasihnya di hadapan kedua-dua bakal mentuanya, iaitu dengan menggunakan pembentangan PowerPoint, lapor portal berita Dream.co.
Pembentangan Perancangan Masa Depan
Menerusi satu video yang tular di Instagram, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Yasher Fadhli menggunakan perisian pembentangan popular itu bagi menjelaskan mengenai perancangan masa hadapannya.
Bagaikan seorang Ketua Pegawai Eksekutif, Yasher secara bersahaja dan yakin menerangkan mengenai pelan kehidupannya dan kekasihnya selepas berumah tangga.
“Kita bukan lagi dalam fasa untuk bertahan. Kebiasaannya, kalau bercakap tentang kewangan, kita sering menyebut mengenai cara untuk bertahan, bagaimana untuk makan dan lokasi tempat tinggal.
“Rancangan kami sekarang adalah tentang cara-cara untuk bekerja keras,” katanya.
Di hadapan lelaki tersebut, kedua-dua bakal mentua bersama kekasihnya dilihat sedang mendengar pembentangan itu dengan teliti.
Video tersebut menjadi tular dengan ramai netizen yang mengagumi cara digunakan Yasher bahkan ada yang meminta tip daripadanya.
“Sangat memberi inspirasi! Ini merupakan cara paling sesuai untuk menyampaikan pandangan yang berbeza kepada ibu bapa,” kata seorang netizen.
“Hebat sekali! Berapa jumlah slide keseluruhan?” kata seorang lagi. – Agensi
#melamar kekasih hati #powerpoint #Yasher Fadhli #perancangan masa hadapan
;