Lelaki Korea amok, tikam mati lima jiran

Agensi
April 18, 2019 21:00 MYT
Ahn ketika diiringi polis di balai polis pada Khamis. - AP
Polis Korea Selatan pada Khamis sedang menyiasat seorang lelaki yang bertindak membakar unit pangsapurinya dan menikam lima orang jirannya ketika mereka cuba melarikan diri.
Dalam insiden keganasan yang berlaku pada Rabu itu, suspek 42 tahun yang hanya dikenali sebagai 'Ahn' itu pada mulanya mencurah minyak di ruang tamunya dan menyalakan surat khabar untuk membakar rumahnya yang terletak di bandar Jinju.
Menurut Ketua Balai Polis Jinju, Lee Heui Seok, suspek kemudian menunggu di tingkat dua bangunan untuk menyerang sesiapa yang lari menyelamatkan diri.
Menggunakan pisau, suspek menikam lima penghuni bangunan itu dan mencederakan enam lain.
Antara mangsa yang maut dalam kejadian itu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Suspek cuba meninggalkan bangunan itu selepas mendengar penggera kebakaran tetapi berjaya ditahan.
Heui Seok berkata, suspek mempunyai sejarah sakit mental dan disyaki bertindak ganas kerana mencuba “mempertahankan dirinya daripada mereka yang cuba memfitnahnya.”
Perdana Menteri Lee Nak-yeon pada Khamis mengkritik pihak polis ke atas kegagalan mereka memantau seseorang yang mempunyai sejarah kelakuan ganas dan sering bertengkar dengan jiran tetangga.
#bakar rumah #Korea Selatan #Sakit Mental #tikam
;