Lelaki Jordan bunuh isteri, anak perempuan 'demi maruah'
Agensi
Januari 19, 2017 21:01 MYT
Januari 19, 2017 21:01 MYT
Seorang lelaki warga Jordan didakwa menikam mati isteri dan dua anak perempuannya dalam satu insiden ‘bunuh demi maruah', lapor AFP.
Sumber kehakiman menyebut bahawa lelaki berusia 28 tahun itu dituduh melakukan pembunuhan 'terancang' berkenaan pada Rabu di bandar Ramtha di utara negara itu.
Suspek bagaimanapun menyerah diri kepada pihak berkuasa dan mengaku membunuh isteri dan anak-anaknya demi mempertahankan "kehormatan" keluarga kerana "mengesyaki isterinya telah berlaku curang terhadapnya".
Menurut sumber lagi, pasangan itu pada mulanya bertengkar dan kemudian isterinya memberitahu suspek yang tiga anak perempuan mereka - berusia tiga, dua dan satu – bukan anak kandung suspek.
"Dia terus mengamuk, ambil pisau dapur dan menikam isteri dan tiga anak perempuannya," kata sumber itu lagi.
Isteri dan dua daripada anaknya yang berusia tiga dan dua tahun terbunuh di tempat kejadian, manakala anaknya yang berusia satu tahun telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan parah.
Jenayah bunuh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati di Jordan, namun mahkamah biasanya akan mengurangkan hukuman dalam kes yang dianggap sebagai 'pembunuhan demi maruah" atas desakan keluarga terlibat.
Dilapor sekitar 15 hingga 20 kes seumpama ini berlaku setiap tahun.