Lelaki Iraq dirakam tawar pasport/visa suaka di KL
Bernama
November 18, 2013 07:44 MYT
November 18, 2013 07:44 MYT
Gelagat seorang rakyat Iraq, yang menggunakan nama samaran Abu Tarek, sedang menawarkan pasport dan visa kepada pencari suaka untuk memasuki Australia melalui udara, telah dirakam secara rahsia di Kuala Lumpur.
Perbuatannya itu terdedah dalam program siasatan Four Corners terbitan ABC yang menunjukkan perbuatan penyeludup manusia menjual dokumen perjalanan hingga pada harga A$16,000 setiap satu.
Lelaki berusia 31 tahun itu, yang nama sebenarnya dipercayai sebagai Hakim Salga, memberitahu pencari suaka bahawa dia boleh membekalkan pasport dan visa untuk membolehkan mereka memasuki Australia dengan menggunakan pesawat komersial dan mereka tidak perlu meredah perjalanan penuh bahaya dengan bot nelayan dari Indonesia.
"Visa Australia, semuanya teratur - pasport tulen, visa tulen.
"Mereka membawanya dengan lengkap, terus dari kedutaan dan kamu boleh terbang atas nama sendiri," kata Tarek kepada bakal pelanggannya di Kuala Lumpur ketika difilemkan.
Lelaki itu mendakwa, baru-baru ini seorang pelanggannya memasuki Australia dengan menggunakan visa dan pasport yang dikeluarkan Bahrain serta memohon suaka di lapangan terbang Australia.