Lelaki ini bahagia hidup serumah dengan 400 reptilia, termasuk ular tedung dan buaya
Agensi
September 21, 2018 18:35 MYT
September 21, 2018 18:35 MYT
Tiada siapa menyangka di dalam sebuah rumah yang terletak di River Loire, Perancis, seorang lelaki hidup bersama pelbagai jenis haiwan liar dan berbisa.
Seekor ular tedung melingkar di atas meja kopi, seekor kura-kura seberat 50 kilogram bebas merangkak di halaman, dan seekor buaya sepanjang 2 meter tidur bersama tuannya di atas katil sementara seekor lagi ‘menjaga’ pintu.
Selepas dua dekad, pencinta reptilia berusia 67 tahun, Philippe Gillet, memiliki koleksi lebih daripada 400 haiwan yang menjadi fobia sesetengah orang – termasuk ular orok-orok, tarantula, dan biawak.
Semuanya ‘hidup’ bersama Gillet di sebuah kediaman di bandar Nantes, barat Perancis.
Gillet berkata, dua buaya itu, yang bernama, Ali dan Gator, diselamatkan dari sebuah ladang ternakan pengeluar produk kulit reptilia berkenaan.
Tambahnya, kebanyakan daripada haiwan peliharaannya itu adalah yang telah dibawa keluar dari habitat masing-masing, atau yang diabaikan, serta disumbangkan kepadanya.
“Saya rasa tidak adil untuk melayan haiwan-haiwan ini seperti yang selalu manusia lakukan. Kita tidak memahami haiwan-haiwan ini.
“Kita tidak memahami, kita benci, dan menganggap semuanya menakutkan. Namun apabila kita mengenali haiwan-haiwan ini, anda boleh memanggilnya, panggil untuk datang dan diberi makan,” ujarnya.
Gillet berkata, dia memiliki semua permit yang diperlukan untuk menyimpan dan membawa haiwan-haiwan itu dalam acara jelajah. Dia melakukannya untuk meningkatkan kesedaran umum tentang reptilia.
Dia juga mengingatkan jiran-jirannya supaya tidak 'panik' dengan penghuni rumah pelbagai spesies itu. Semua ular berbisa miliknya juga disimpan di dalam sebuah bilik khas.
Namun, jabatan bomba dan penyelamat tempatan dilihat lebih berjaga-jaga. Mereka diingatkan supaya tidak masuk ke dalam rumah Gillet sebarangan ketika berlaku kes kecemasan!