Lelaki India bunuh 14 ahli keluarga dengan pisau potong daging sebelum gantung diri

AFP
Februari 28, 2016 15:16 MYT
Seorang lelaki berumur 35 tahun telah membunuh 14 ahli keluarganya termasuk tujuh orang kanak-kanak sebelum membunuh dirinya. - Gambar Hiasan
Seorang lelaki berumur 35 tahun dipercayai bertindak membunuh 14 anggota keluarganya termasuk tujuh orang kanak-kanak sebelum membunuh dirinya sendiri.
Menurut laporan AFP, lelaki tersebut melakukan perbuatan kejam itu menggunakan pisau memotong daging.
Polis berkata kejadian itu berlaku semasa ahli keluarga lelaki itu berkumpul di rumah salah seorang daripada mereka di Thane ke pinggir bandaraya Mumbai di India untuk sebuah majlis bersama keluarga.
“Lelaki itu, Hasnin Warekar, menggantung dirinya selepas bertindak mengelar leher kesemua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya,” kata seorang jurucakap polis, Gajanan Laxman Kabdule, kepada AFP.
Hanya seorang ahli keluarga, iaitu adik perempuannya, terselamat dalam sejadian itu.
Adiknya telah dibawa ke hospital selepas jirannya mendengar jeritannya selepas tengah malam dan membuat panggilan polis.
“Kami masih belum dapat berkomunikasi dengan adik perempuannya yang berumur 21 tahun itu. Beliau mengalami trauma di hospital,” kata Gajanan.
Menurut beberapa laporan media tempatan di bandar itu, Hasnin menyerang keluarganya selepas meletakkan ubat penenang dalam makanan mereka.
Namun, akhbar India Express melaporkan bahawa akauntan itu menyerang semua mangsa selepas mereka tidur.
“Bukti prima facie menunjukkan bahawa lelaki itu mengunci kesemua pintu rumah dan membunuh keluarganya semasa mereka sedang tidur, dengan sebilah pisau yang ditemui berhampiran mayatnya,” kata Pesuruhjaya Polis Thane, Ashutosh Dumbre.
Walau bagaimanapun, polis berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sekiranya mangsa-mangsa telah diberikan ubat penenang, kerana pasukan siasatan sedang menunggu keputusan ujian perubatan.
Rakaman televisyen menunjukkan beberapa orang lelaki mengangkat mayat dibalut dengan helaian kain ke ambulans , kerana orang ramai sudah mula berkumpul di luar rumah tersebut.
Gajanan berkata butiran dan motif serangan itu ‘masih samar’.
Menurut agensi berita Press Trust of India, pertikaian harta adalah punca pembunuhan itu, tetapi Dumbre berkata siasatan awal setakat ini mendapati tiada pencetus untuk kejadian itu.
"Dia bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Mumbai. Tidak ada masalah kewangan yang diketahui atau apa-apa pertikaian dan kini kami berharap wanita yang masih hidup itu boleh memberikan kami petunjuk dalam kejadian ini,” katanya.
#14 orang #bunuh #selar leher
;