Lelaki 'hidup' semula dalam keranda
Faida Rahim
November 15, 2022 09:45 MYT
November 15, 2022 09:45 MYT
JAKARTA: Disangka sudah meninggal dunia, seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas didapati masih bernafas ketika berada di dalam keranda.
Memetik laporan Kompas, lelaki dikenali sebagai Us yang menetap di daerah Bogor, Jawa Barat ketika ini sedang dirawat di Hospital Besar Wilayah (RSUD) Kota Bogor untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, pengarah utama hospital, Ilham Chaidir memaklumkan Us hanya mengalami gangguan kesedaran.
“Pesakit ini datang dalam keadaan tidak sedarkan diri, kemudian dirawat, tiada masalah dan boleh berpindah ke bilik,” katanya pada Isnin.
Sementara itu, abang kepada Us, Saputra menjelaskan, kejadian terjadi pada hari Jumaat lalu apabila abangnya diisytihar meninggal dunia selepas melakukan aktiviti di Semarang.
“Dia meninggal di Semarang ketika ada aktiviti di sana. Seseorang memberitahu dia jatuh sakit dan dibawa ke hospital di Jakarta dan di Hospital Jakarta dia dilaporkan meninggal dunia,” kata Saputra.
Sementara itu, keluarga Us terkejut dengan situasi kerana melihat tiada tanda memperlihatkan Us masih hidup ketika keranda tiba di kediaman.