Lelaki gigit telinga mangsa hingga putus

Bernama
Januari 3, 2013 16:06 MYT
Seorang lelaki berusia 25 tahun untuk kali keduanya ditangkap polis kerana perbuatan menganiaya mangsa dengan cara menggigit mereka, dan dalam kes terbaharu ini dia didapati menggigit telinga
seorang lelaki lain hingga putus.
Suspek ditangkap pada Ahad, sehari selepas dia menggigit hingga putus teliga Edi Irawan, 32, dalam satu pertengkaran di terminal bas Pulo Gadung, Jakarta Timur.
Polis berkata dalam kejadian itu suspek yang ketika itu sedang mabuk membuat kekecohan di situ dan cuba memukul seorang kawan Edi yang sedang hamil.
Satu pertengkaran kemudian berlaku antara suspek dan Edi yang berakhir dengan bertumbuk dan pada ketika itu suspek tiba-tiba menerkam dan menggigit telinga Edi hingga putus.
Edi berkata suku bahagian telinganya putus digigit oleh suspek dan ia tak dapat disambung semula kerana bahagian itu tidak ditemui.
Menurut polis, suspek yang sering membuat kekecohan di sekitar Terminal Bas Pulo Gadung, pernah ditangkap pada tahun 2011 dan dihukum penjara kerana menganiaya seorang mangsa dengan menggigit lengannya.
#lelaki gigit telinga Edi Irawan
;