Lelaki ditahan di Perancis disyaki rancang keganasan

Bernama
Julai 26, 2024 09:20 MYT
Puluhan ribu polis dan tentera Perancis akan bertugas melindungi 10,500 atlet dari lebih 200 negara sepanjang temasya itu berlangsung. - Foto AP
PARIS: Polis Perancis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan sehari sebelum pembukaan Sukan Olimpik di Paris, menurut pejabat pendakwa raya antikeganasan negara itu pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lelaki berusia 18 tahun itu telah berhubung dengan seorang lelaki lain yang telah pun ditahan pada Selasa.
Kedua-dua mereka disyaki merancang "keganasan," menurut pejabat itu.
Mereka dipercayai merancang serangan semasa Sukan Olimpik, menurut laporan media tempatan, walaupun pejabat pendakwa raya tidak memberi sebarang penjelasan mengenai perkara ini.
Pejabat pendakwa raya masih menyiasat sejauh mana rancangan itu telah disusun.
Sukan Olimpik bermula pada Jumaat dengan upacara pembukaan pertama yang diadakan di luar stadium, manakala atlet akan berarak di atas bot di Sungai Seine dan ratusan ribu orang dijangka menyaksikan acara itu dari tebing sungai.
Puluhan ribu polis dan tentera Perancis akan bertugas melindungi 10,500 atlet dari lebih 200 negara sepanjang temasya itu berlangsung.
Perancis mengisytiharkan tahap amaran keganasan tertinggi pada Mac.
Pada Mei, penyiasat berjaya menggagalkan rancangan serangan pengganas pada perlawanan bola sepak semasa Sukan Olimpik.
Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin berkata dua rancangan yang terbukti menyasarkan Sukan Olimpik telah digagalkan setakat ini.
--BERNAMA-dpa
#Sukan Olimpik Paris 2024 #keganasan #polis #Tahan
;