Lelaki ditahan bawa beg berisi anggota badan isteri

Astro Awani
Januari 23, 2025 10:40 MYT
John Kiama Wambua ketika ditahan selepas polis menemui anggota badan dalam sebuah beg galas. - Foto X/Erick M. Ndururi
NAIROBI: Polis Kenya menahan seorang lelaki didakwa membawa anggota badan isterinya yang telah dikerat-kerat dalam sebuah beg galas.
Suspek, John Kiama Wambua, 29, ditahan oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan awal pagi di Huruma, Nairobi.
Menurut kenyataan dari Direktorat Siasatan Jenayah Kenya (DCI), pihak polis yang curiga dengan tingkah laku suspek telah memeriksa beg galasnya dan menemui anggota badan manusia di dalamnya.
“Hasil siasatan awal mendapati anggota badan tersebut milik isterinya, Joy Fridah Munani yang berusia 19 tahun,” kata kenyataan itu.
Suspek dikatakan tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atau terkejut dengan penemuan itu.
Selepas disoal siasat, dia membawa polis ke rumahnya di mana mereka menemui sebilah pisau, pakaian yang berlumuran darah dan anggota badan lain yang disembunyikan di bawah katil.
DCI menyifatkan perbuatan itu sebagai “kejam” dan memaklumkan bahawa suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh dalam pendengaran mahkamah yang akan datang.
KES KEGANASAN TERHADAP WANITA DI KENYA
Kes ini menambah kepada statistik tragis di Kenya, yang mencatatkan salah satu kadar femisid (pembunuhan bermotifkan gender) tertinggi di Afrika.
Menurut Polis Nasional Kenya, sekurang-kurangnya 97 wanita telah dibunuh antara Ogos dan Oktober tahun lalu.
Pada Disember 2024, ratusan wanita mengadakan protes di Nairobi untuk membantah gelombang kes pembunuhan wanita yang semakin meningkat.
Namun, perhimpunan tersebut dileraikan dengan gas pemedih mata oleh pihak polis.
BEBERAPA KES PEMBUNUHAN WANITA YANG KEJAM DI KENYA
Pada September 2024, pelari Olimpik Rebecca Cheptegei dibunuh oleh bekas pasangannya selepas disiram petrol dan dibakar hidup-hidup di rumahnya.
Pada Julai, polis menahan seorang lelaki bernama Collins Jumaisi Khalusha yang digelar sebagai “pembunuh bersiri” selepas sembilan mayat wanita yang dikera-kerat ditemui di sebuah kuari lama.
Khalusha kemudiannya melarikan diri dari tahanan polis dan masih diburu.
Awal tahun yang sama, kes pembunuhan brutal seorang wanita muda, Rita Waeni, mengejutkan negara apabila dia ditemui dikerat dan dimasukkan ke dalam beg plastik di sebuah rumah sewa.
Kes-kes seperti ini mencerminkan isu keganasan terhadap wanita yang serius di Kenya dan keperluan mendesak untuk langkah pencegahan dan keadilan yang lebih tegas.
#anggota badan #bunuh isteri #femisid #wanita
;