Lelaki dihukum penjara gara-gara pasang 'spy app', godam akaun media sosial isteri
Agensi
April 5, 2022 06:00 MYT
April 5, 2022 06:00 MYT
SINGAPURA: Selepas sering bertengkar dengan isteri, seorang lelaki secara rahsia memasang aplikasi pengintipan pada telefon isterinya untuk memantau aktiviti isterinya di media sosial, termasuk rekod panggilan dan mesej.
Potal berita Channel NewsAsia melaporkan, lelaki itu, Nicholas Wang Weichou, 30, menggunakan aplikasi itu untuk menggodam akaun media sosial isterinya dan menghantar mesej ancaman selepas berbuat demikian.
Warga Singapura itu akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 22 minggu pada Selasa (5 April), seperti yang didesak pihak pendakwa raya.
Dia mengaku bersalah atas satu dakwaan pengintipan yang melanggar undang-undang dan dua lagi dakwaan di bawah Akta PInjaman Wang.
Lima lagi dakwaan sedang menunggu perbicaraan.
Mahkamah diberitahu hubungan Nicholas dan isterinya yang berusia 33 tahun itu dilanda masalah pada Ogos 2020, selepas dua tahun pasangan itu berkahwin.
Ketika itu, Nicholas menemui sebuah aplikasi ketika mencari maklumat tentang perisian penggodaman.
Dia membeli aplikasi itu dengan membayar yuran bulanan sebanyak S$108, dan menggunakannya selama dua bulan.
Secara diam-diam, dia memasang aplikasi itu pada telefon isterinya ketika mangsa sedang tidur dan mula memantau aktiviti sejak Ogos 2020.
Aplikasi itu membolehkan Nicholas mengakses semua mesej media sosial, rakaman suara dan rekod panggilan.
DIa juga boleh mendengar apa saja yang dibualkan isterinya secara langsung, dan boleh menghidupkan kamera telefon untuk memeriksa isterinya.
Perbuatan lelaki itu disedari apabila sampai satu ketika isterinya hilang pemilikan kepada semua akaun media sosial kerana kata laluan sudah diubah dan sebarang usaha untuk mendapatkan kembali akaunnya tidak berhasil.
Wanita itu akhirnya membuat laporan polis dan 'rahsia' suaminya terbongkar.