Lelaki didorong kebencian didapati bersalah rempuh kariah masjid di London

Astro Awani
Februari 1, 2018 00:32 MYT
Seorang lelaki memegang plakad di luar tingkap di Masjid Finsbury Park di utara London, Britain, 20 Jun, 2017, selepas insiden rempuhan yang mengakibatkan seorang maut sehari sebelumnya. REUTERS / Fail
Seorang lelaki yang menanam kebencian terhadap orang Islam selepas menonton drama mengenai jenayah seksual kanak-kanak melibatkan lelaki Asia, didapati bersalah di sebuah mahkamah di sini pada Khamis, kerana merempuh sekumpulan orang Islam pada Jun tahun lalu.
Darren Osborne, 48 tahun, telah memandu sebuah van yang disewa dan merempuh ahli kariah di luar sebuah masjid di utara London, mengakibatkan seorang maut.
Osborne memandu kenderaan itu ke arah sekumpulan Muslim yang sedang berkumpul di keliling seorang bapa kepada enam anak, Makram Ali, 51, yang rebah selepas menunaikan solat pada malam Ramadan dalam kejadian pada 19 Jun, 2017, di Finsbury Park di sini.
Dalam kejadian itu, Ali maut sementara 12 yang lain cedera, dua daripadanya serius.
Mahkamah Agung Woolwich mendapati Osborne bersalah kerana membunuh dan cubaan membunuh, sambil pihak polis dan pendakwaan menyifatkan ia satu tindakan keganasan.
Insiden ini merupakan yang keempat dipertanggungjawabkan terhadap pengganas di Britain dalam tempoh tiga bulan dan ia terjadi selepas tiga serangan berunsur Islam.
Osborne, yang sebelumnya tidak pernah menyuarakan pandangan sayap kanan, mempunyai obsesi terhadap umat Islam selepas menonton program BBC bertajuk "Three Girls".
Drama itu yang disiarkan pada Mei tahun lalu berkisar mengenai peristiwa di Rochdale, utara England, di mana gadis kulit putih didera oleh lelaki Pakistan British.
Menurut polis, kebencian itu kemudiannya didorong oleh penyelidikan atas talian yang dibuat Osborne mengenai tokoh dan kumpulan pelampau berhaluan kanan.
Hukuman ke atas Osborne akan diputuskan pada Jumaat (2 Feb).
#bersalah #bunuh #Finsbury Park #Hukuman #London #mahkamah #masjid #rempuh #van
;