Lelaki didenda rakam aksi penderaan anjing tanpa hentikan perbuatan itu
Astro Awani
Julai 9, 2021 12:13 MYT
Julai 9, 2021 12:13 MYT
SEORANG lelaki di Singapura didenda S$4,500 (RM13,920) dan dilarang memiliki haiwan peliharaan selama setahun selepas dia didapati bersalah merakam aksi penderaan seekor anjing dan tidak lakukan apa-apa untuk hentikan perbuatan itu.
Chia Yong-Quan mengaku bersalah di mahkamah Singapura pada Khamis kerana tidak menghalang sepupunya, Clement Chia Tian Xiang mendera anjing baka poodle berusia empat tahun itu, lapor Channel News Asia.
Di bawah Akta Haiwan dan Burung, Yong-Quan boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 18 bulan dan didenda S$15,000 (RM46,400).
Kejadian tersebut dipercayai berlaku antara bulan Oktober 2016 dan November 2016 ketika Yong-Quan melawat Clement di rumahnya.
Dalam tempoh itu, Yong-Quan membuat dua rakaman yang memaparkan pelbagai jenis penderaan dilakukan Clement.
Dalam video pertama Clement dirakam mengikat mulut anjing itu sebelum dia menumbuk haiwan berkenaan beberapa kali.
Menurut dokumen mahkamah yang diperolehi Channel News Asia, anjing yang diberi nama Leslie itu kemudian dipukul dengan penyidai baju.
Insiden berkenaan hanya diketahui pihak berkuasa selepas video rakaman itu tular di media sosial.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Norine Tan, sebagai seorang saksi Yong-Quan bertanggungjawab untuk menghentikan penderaan itu daripada terus berlarutan.
Clement pula berdepan enam tuduhan berkaitan insiden berkenaan dan dijangka mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah bulan ini, lapor Channel News Asia.