Lelaki didenda kerana jual ikan laga dari pangsapuri, simpan cicak eksotik

Agensi
Mac 17, 2021 17:40 MYT
Muhammad Irfan didapati bersalah kerana menjual ikan laga tanpa lesen perniagaan dan menyimpan hidupan liar tanpa permit. - Foto: Wiki/Unsplash
SINGAPURA: Pasukan penguatkuasa dari Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) bertindak mendenda seorang lelaki yang didapati menjual ikan laga dan memelihara sejenis reptilia eksotik di unit pangsapurinya di Ang Mo Kio.
Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, berdasarkan maklumat orang awam, lelaki berkenaan didapati menjalankan urus niaga menjual Betta atau ikan laga menerusi aplikasi Telegram.
Pasukan daripada NParks telah memasuki rumah lelaki itu, Muhammd Irfan Khairudin, 28, dan sejurus diperiksa mereka bukan sahaja menemui 10 ekor ikan laga malah dua ekor cicak ‘bearded dragon’ (spesies cicak Pogona) yang disimpan secara haram di kediaman flat itu.
Mahkamah telah menjatuhi Muhammad Irfan, 28, dengan hukuman denda sebanyak S$3,000 (RM9,186) pada Rabu kerana didapati bersalah menjadikan rumahnya sebagai kedai haiwan peliharaan untuk menjual ikan laga, selain dua kesalahan menyimpan hidupan liar tanpa permit.
Mahkamah diberitahu, Muhammad Irfan memulakan akaun Telegram pada awal tahun 2019. Di situ, dia memuat naik maklumat tentang jualan ikan laga, dan pernah menjual ikan laga pertamanya pada harga S$20 (RM61).
Sejak itu, sebanyak 10 ekor ikan lagi telah dijual menerusi akaun Telegram itu, walaupun tanpa memiliki lesen kedai haiwan peliharaan, atau permit untuk menyimpannya.
Cicak bearded dragon adalah sejenis reptilia yang berasal dari Australia. Haiwan berkenaan yang dijumpai di Singapura lazimnya diseludup dari Johor Bahru, ujar pihak pendakwa.
Haiwan itu bukan berasal dari Singapura dan boleh membawa ancaman jika terlepas ke persekitaran.
Tambah pihak pendakwa lagi, penjualan haiwan peliharaan sangat dikawal oleh pemerintah republik itu dan langkah ketat perlu diambil untuk memastikan spesies-spesies asing tidak dibiakkan dalam keadaan yang tidak sesuai.
Di Singapura, kesalahan menyimpan hidupan liar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
#Singapura #ikan laga #hidupan liar #hukuman berat #mahkamah #cicak eksotik
;