Lelaki didakwa atas tuduhan rogol dan culik
AFP
Mei 9, 2013 12:00 MYT
Mei 9, 2013 12:00 MYT
Pihak pendakwaan Amerika Syarikat (AS) hari ini mengemukakan satu tuduhan culik dan rogol ke atas bekas pemandu bas berusia 52 tahun semalam (Rabu) kerana mengurung tiga wanita di rumahnya di Cleveland lebih sedekad yang lalu.
Seorang wanita telah melahirkan seorang anak perempuan sewaktu dikurung dalam rumah Ariel Castro sehingga dia dilepaskan Isnin lepas apabila ibu muda berkenaan Amanda Berry berjaya menarik perhatian jiran berhampiran.
Dua wanita lain dari Ohio gembira apabila ditemukan semula bersama keluarga mereka semalam. Manakala wanita ketiga menerima rawatan sambil polis menjalankan siasatan berhubung insiden tahanan itu.
Castro dituduh merogol tiga wanita iaitu Berry, Gina DeJesus dan Michelle Knight yang masing-masing berusia 27, 23 dan 32 tahun.
Lelaki tersebut turut berdepan empat tuduhan menculik tiga wanita berkenaan dan seorang kanak-kanak perempuan Jocelyn, 6, anak kepada Berry.
Castro dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk pertuduhan. Dua orang abangnya dijangka turut hadir ke sidang mahkamah itu bagi pertuduhan yang berkaitan.
"Tahanan wanita itu hanya dibenarkan keluar ke garaj rumah dua kali sahaja," kata timbalan ketua polis Ed Tomba.
"Mereka seakan tidak mempercayai hanya dapat melepaskan diri setelah 10 tahun dikurung. Mereka tidak dikurung di bilik yang sama namun mereka saling mengenali."
Tomba enggan mengulas satu laporan yang mendakwa bahawa Knight telah hamil sekurang-kurangnya enam kali namun Castro telah menumbuk perut wanita itu sehingga mengakibatkan keguguran.
Abang kepada Castro iaitu Pedro dan Onil yang masing-masing berusia 54 dan 50 tahun ditahan Isnin lalu kerana bersama Castro sewaktu dia diberkas. Namun dua beradik Castro itu tidak dituduh menculik.
"Tiada bukti yang melibatkan mereka terlibat dalam kes itu," kata Tomba.
Tomba enggan mengulas bukti spesifik yang ditemui dalam rumah berkenaan namun ketua polis daerah itu Michael McGrath berkata tiga wanita itu telah dirantai dan diikat di ruang tamu.
Berry tiba di rumah kakaknya dengan kenderaan yang diiringi motosikal polis dan ejen FBI.
DeJesus pula diiringi saudara-maranya pulang ke rumah dan sempat memberikan lambaian kepada penyokongnya.
"Dia sangat teruja untuk pulang. Kegembiraan terpancar dimukanya." kata ibunya Nancy Ruiz kepada wartawan.
Ruiz menasihati ibu bapa agar lebih mengawasi anak-anak mereka dan turut meminta orang ramai memberi kerjasama terhadap siasatan polis serta mengucapkan terima kasih kepada jiran-jiran yang membantu menyelamatkan wanita berkenaan.